Followers

Ahad, 15 Januari 2012

Prince Charming: Versi yang tak pernah disiarkan [part 2]


Saya selalu terima komen, siapa yang buat carta Prince Charming tu? Macam mana carta tu terjadi? Walaupun saya ada tulis kat dalam novel Prince Charming tapi ramai yang tak perasan sebab diorang tak tumpukan perhatian pada naratif tu. Saya dah agak dah mesti ada yang tanya klu saya terangkat kat naratif tu. Sebenarnya, bahagian tu telah diedit dan saya terpaksa buang yang versi asal atas nasihat seseorang.

Tak kurang gak ramai yang komen, tak puas dengan ending. Nak sampai diorang berkahwin dan ada anak… huhu… Nak tahu diorang berkahwin ke tak? Ada anak ke tak… jom baca bahagian akhir Prince Charming writer cut ni… ^_^

~*~

17 tahun kemudian…

“Kenapa ni?” tanya Nurul kepada anak perempuannya yang sejak tadi asyik bermasam muka sejak pulang dari sekolah.

Setelah 16 tahun berkahwin dengan Nazrul, mereka berdua dikurniakan sepasang kembar. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Nurul Iman dan Muhd Nazrin. Mereka memang sengaja memilih nama Nazrin kerana untuk memperingati Nazrin.

Sekarang kedua anaknya berdua sudah berumur 16 tahun dan masing-masing sekarang bersekolah di tingkatan empat di sekolah lamanya. Memang keduanya sengaja memilih untuk menyekolahkan anak-anak mereka di sekolah yang sama kerana dari situlah bermulanya kenangan dan cinta mereka berputik.

“Mama tanyalah abang!” dengan marah anak perempuannya itu naik ke atas sambil menghentak-hentak kaki. Tidak lama kemudian, kedengaran pula pintu bilik di hempas dengan kuat. Nurul sekadar menggeleng. Memang serupa dengan perangainya sewaktu remaja dahulu.

“Abang…?” dia memandang anak lelakinya yang menjenguk makanan di meja makan. Wajah Nazrin seiras ayahnya. Tapi nasib baiklah perangainya tidak sama seperti Nazrul yang suka tidur tidak kira waktu. Tapi sejak mereka berkahwin, tiada lagi perangai kuat tidurnya. Mungkin kerana dia sudah matang dan telah memikul tugas seorang bapa dan ayah.

“Mama tanyalah dia,” kini anak lelakinya pula yang berlalu naik ke atas. Masing-masing tidak mahu mengaku kalah. Orang kata, bila pasangan kembar sehati sejiwa tapi lain pula yang berlaku pada kedua anaknya itu.

Bergaduh tak habis-habis. Tapi bila difikirkan, macam hubungan dia dengan Nazrul pula.

Akhirnya dia mengambil keputusan untuk bercakap dengan anak perempuannya dahulu. Dengan perlahan dia melangkah masuk ke dalam bilik Nurul Iman. Dia menghampiri anak perempuan itu dan memulakan sesi soal siasat.

“Kenapa ni?”

“Abang tu dengki!”

“Yelah tapi dengki pasal apa?” tanya Nurul lembut.

“Dia dengki dengan adik! Salah ke adik tengok carta Prince Charming tu? Tapi dia ingat aku dah menggatal nak bercinta. Adik cuma tengok saja mama, bukannya cium gambar yang kat carta Prince Charming tu.

“Sebab tu?”

“Yelah!”

“Betul?”

“Okey, adik memang suka dengan Saiful,” akhirnya dia mengaku.

“Saiful?” tanya Nurul kembali.

“Kapten pasukan bola sepak. Dia selalu dapat gelaran Prince Charming.”

“Ahah,” Nurul mengangguk faham. Sekarang dia dapat mengagak keseluruhan ceritanya. Tapi bila difikirkan macam ceritanya juga cuma yang bezanya dia tidak percaya dengan carta Prince Charming sehinggalah hari ini.

“Mama, nak tanya. Betul ke carta Prince Charming tu carta ajaib?” tanya Nurul Iman. Selama ini dia memang tidak percaya dengan carta Prince Charming yang dikatakan tradisi turun temurun dan sesiapa yang koyak carta itu akan ditimpa malang!

“Entahlah. Sampai sekarang mama pun tak tahu pasal carta tu,” Nurul sekadar mengangkat bahu.

“Mama tak siasat ke?”

“Mama nak siasat juga dari mana datangnya carta tu tapi tak berpeluang sebab masa tu hanya mama saja yang tak percaya. Kalau ada kawan, memang mama dah siasat dari awal lagi.”

Kemudian dia melihat anak perempuannya. Nurul Iman memandang mamanya. Tiba-tiba sahaja dia dapat fikirkan satu idea. Idea yang bernas. Kemudian, masing-masing tersenyum.

“Mana mama dan adik?” tanya Nazrul setelah pulang dari kerja. Selalunya sebelum dia jejak sahaja kaki ke rumah, isterinya sudah berdiri di muka pintu menyambut kepulangannya. Tapi hari ini, dia masuk ke rumah tanpa bimbingan isterinya. Malah, kereta milik isterinya juga tiada.

“Entah. Dia kata nak pergi shopping. Nak temankan adik yang merajuk dengan abang,” jawab anak lelakinya itu.

“Abang buat apa?”

“Tak ada apalah papa, masalah remaja je. Tahulah abang selesaikan.”

***

Kemudian mereka berdua dikejutkan dengan deringan telefon di ruang tamu. Belum sempat Nazrin hendak menjawab handsetnya pula berbunyi. Panggilan daripada Saiful. Akhirnya Nazrul yang menjawab panggilan tersebut sementara Nazrin menjawab panggilannya.

“Papa!” dia mendapatkan papanya yang baru sahaja selesai bercakap dalam telefon.

“Pengawal yang bertugas beritahu mereka jumpa mama dan adik pengsan kat sekolah. Sekarang mereka ada sana,” beritahu Nazrul sambil mencapai kunci keretanya. Anak lelakinya ikut dari belakang. Mereka berdua, kemudiannya bergegas pergi ke sekolah.

Nazrul sekadar menggeleng apabila melihat isteri dan anak perempuannya terlantar lemah dikatil. Keduanya terkena demam panas yang mengejut. Semuanya kerana keduannya menggatal hendak siasat mengenai carta Prince Charming malam tadi.

Menurut pengawal yang bertugas, dia terdengar jeritan orang dan bergegas ke tempat kejadian dan mendapati anak dan isterinya sudah jatuh pengsan di kaki lima. Selepas mereka sedar, isterinya menceritakan segalanya. Menurut cerita isterinya, semasa mereka sedang menyiasat, mereka berdua terdengar bunyi yang aneh sebelum di kejutkan dengan beberapa lembaga yang melalui hadapan mereka.

“Pa… papa rasa nak bagi tahu ke tak?” tanya Nazrin serba salah.

“Bagi tau apa?”

“Pasal rahsia terbesar kelab bola sepak,” katanya.

“Ingat, lelaki sejati akan simpan rahsia sampai bila-bila pun,” katanya. Dalam diam dia tersenyum. Mana boleh bocorkan rahsia yang selama ini di simpan rapi oleh kelab bola sepak terhadap rahsia carta Prince Charming.

Tapi kalau Nurul dapat tahu bahawa carta Prince Charming tu sebenarnya di buat sendiri oleh kelab bola sepak, apakah reaksinya?

Dia sekali lagi tersenyum.

Walau apapun, rahsia tetap rahsia. Dan carta Prince Charming tetap akan wujud sehingga bila-bila dan tetap akan ada peminatnya sendiri.

TAMAT