
Dahulu saya ingat menulis ni main redah saja. Tulis saja novel, bila siap hantar kat publisher. Itu saja. Saya tak perlu bazirkan masa untuk pergi bengkel-bengkel penulisan sebab bagi saya apa yang perlu ada adalah keazaman dan minat terus menulis. Hanya itu sahaja yang ada untuk saya teruskan dalam penulisan.
Itu tanggapan saya dahulu.
Tapi kini saya perlu akui bahawa minat dan keazaman yang ada tidak mencukupi untuk saya terus menulis. Ini kerana terdapat banyak teknik-teknik yang perlu seseorang penulis itu belajar bagaimana hendak jadi seorang penulis yang diterima ramai. Diterima ramai bukan bermaksud novel kita dapat best seller kat Malaysia. Ada juga novel yang best seller kat Malaysia tapi tak ramai yang membelinya berpuas hati dengan novel itu.
Jadi, target saya bukanlah best seller kat Malaysia tapi saya berharap semua yang membelinya berpuas hati. Itu yang saya rasai apabila mengeluarkan novel sulung. Saya terpaksa akui novel itu terlalu banyak yang saya sendiri tak puas hati setelah novel ini dijadikan buku. Tapi bila dah jadi buku memang tak boleh nak buat apa-apa.
Memang pelikkan? Seorang penulis sepatutnya sudah bersedia awal-awal lagi dengan manuskripnya sebelum diserahkan kepada publisher. Itu yang saya lalui. Saya yakin dengan manuskrip saya tapi lain pula yang jadi. Kejadian ini saya rasai selepas saya pergi menghadiri bengkel penulisan yang dianjurkan oleh salah seorang rakan penulis.
Pada awalnya saya ingin bengkel ini seperti bengkel biasa yang saya hadiri. Bercerita tentang asas-asas penulisan; watak, perwatakan, macam mana nak jadi penulis, itu dan ini… bosan! Tetapi bengkel kali ini memang membuka mata saya 100 peratus tentang penulisan! Ia tidak hanya bercakap tentang asas-asas penulisan tapi menyentuh segala aspek berkenaan penulisan.
Balik dari bengkel tu saya terus kaji balik manuskrip Antasia yang telah siap tetapi malangnya saya tak mempunyai banyak masa untuk melakukan pembetulan sebab dateline makin hampir. Saya hanya betulkan lobang-lobang yang saya nampak. Bukan bermaksud manuskrip Antasia itu belum cukup sempurna untuk dihantar pada publisher. Ia memang sudah siap sepenuhnya cuma terdapat dialog, perwatakan dan setting yang tak dilakarkan dengan lebih tepat.
Setelah berpuas hati saya menghantar manuskrip Antasia kepada publisher. Saya bernasib baik kerana dapat menghadiri bengkel penulisan tersebut. Jika tidak sampai bila pun saya tidak akan membuka mata besar-besar tentang penulisan novel.
Kini, saya perlu siapakan manuskrip Hikayat Cinta. Saya telah menghabiskan masa seminggu untuk membaca kembali Hikayat Cinta dari jilid awal hingga terkini dan saya merasai seperti hendak tutup saja laptop dan tidur! Tension! Terlampau banyak sangat ‘lubang’ yang terbuka dengan luas. Banyak perkara yang tak sentuh dan banyak watak dan fungsi mereka hilang macam tu saja. Ayat naratif yang bercelaru. Tension dibuatnya.
Setakat ini, manuskrip ini sudah mencecah 500 muka surat! Saya dalam dilemma. Setahu saya manuskrip paling panjang pun 600 lebih muka surat tapi perjalanan hidup Apy Elina masih panjang lagi! Sekurang-kurangnya lebih 800 muka surat. Jadi, saya mengambil ilmu yang saya belajar dari bengkel itu. Saya berpendapat, saya akan merombak semula manuskrip ini dari awal.
Tapi yang sudah sebati dengan enovel ini anda tak perlu risau. Saya hanya merombak di manuskrip sahaja. Mungkin ada babak yang saya tak akan masukkan. Mungkin ada yang saya tokok tambah. Enovel ini diteruskan seperti biasa sehinggalah saya rasa perlu dihentikan iaitu selepas manuskrip ini bertukar tangan kepada publisher. Walau bagaimanapun, mulai bab 36 hingga seterusnya, anda akan membaca draf bab sahaja. Jalan cerita mungkin akan bertukar dan mungkin juga tidak.
Saya minta maaf dengan kesulitan yang berlaku ini.



yup...memang betul. semakin banyak ilmu penulisan yang kita dapat, semakin banyak kekurangan yang kita nampak dalam setiap manuskrip kita. sampai satu tahap rasa takut sangat nak hadiri bengkel penulisan ni. :-)
BalasPadam